Personal Blog : My OUM(Open University Malaysia) journey starting from Jan 2011 till graduate.
Everyone can copy the contents in this blog and please leave some credit or a backlink to me... -Thank You-

Monday, March 10, 2014

MPW2133 - MALAYSIAN STUDIES

Assignment Question
MPW2133 - MALAYSIAN STUDIES

 PURPOSE
The purpose of this assignment is to discuss the achievements and weaknesses of the Look East Policy after being introduced in 30 years in Malaysia.

REQUIREMENTS

On February 8, 1982, Tun Dr. Mahathir had introduced the Look East Policy (LEP) as a policy to emulate the Eastern countries such as Japan and South Korea that have successfully developed rapidly and become developed nations. Recently, Datuk Seri Najib Tun Razak has expressed commitment to further strengthen the Look East Policy after 30 years of implementation.


Based on the statement above;
i.    Describe in detail the aims of the Look East Policy that was introduced and give relevant examples.
ii.    Discuss the achievements obtained from the Look East Policy in terms of economy, social and politics.
iii.    Give a comment on weaknesses in the implementation of the Look East Policy in Malaysia.
iv.    Do an analysis of why Datuk Seri Najib announced his commitment to further continue the Look East Policy.

==============jawapan============


1.0       Pengenalan
Dasar Pandang ke Timur (DPT) begitu popular semenjak ianya diperkenalkan pada tahun awal 80an. Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982. Dasar ini menekankan kepada sikap-sikap positif yang ada pada orang Jepun dan Korea Selatan. Selain itu, ianya juga memfokus kepada elemen latihan dan pendidikan. Sikap-sikap positif yang dimaksudkan adalah merangkumi kejujuran, ketepatan masa, berdisiplin, tekun, rajin dan etika kerja yang baik bagi meningkatkan mutu kerja dan kemahiran dikalangan pekerja di Malaysia.
Dasar ini tidaklah mengambil bulat-bulat sikap positif yang ada pada kedua-dua negara tersebut. Ianya akan disesuaikan mengikut sikap dan amalan di Malaysia supaya selari dengan budaya dan nilai positif ketimuran yang kita miliki. Kaedah-kaedah yang digunakan adalah dengan mengadakan kursus dan latihan di Jepun dan Korea Selatan. Kursus dan latihan ini meliputi pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi, kakitangan awam dan tidak ketinggalan juga kakitangan agensi swasta. Diantara objektif DPT adalah merangkumi:
·      Mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi tinggi
·      Mencontohi dan menerapkan nilai-nilai etika kerja positif
·      Kerja Berkumpulan
·      Semangat Patriotisme
·      Mempelajari sistem pengurusan dan organisasi
·      Perubahan sikap kepada konsep Kepimpinan Melalui Teladan
Secara ringkasnya, Dasar Pandang ke Timur adalah satu dasar yang menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai idola atau ikutan mengikut acuan kita sendiri.

2.0       Matlamat Dasar Pandang ke Timur
            2.1       Menimba Pengetahuan Teknologi
Pada waktu sebelum Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan, negara kita masih tercari-cari idola untuk dijadikan mentor pembangunan ke arah menuju sebuah negara maju. Kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mencetuskan satu idea baru dikenali Dasar Pandang ke Timur bagi membolehkan rakyat di negara ini mempelajari teknologi Jepun dan Korea melalui proses peralihan atau pemindahan teknologi.
Sebagai contoh pada tahun 1985, kereta nasional pertama iaitu Proton Saga dikeluarkan. Ianya terhasil daripada perkongsian teknologi Mitsubishi daripada Jepun bermula daripada tahun 1983 lagi. Ini membuktikan matlamat Dasar Pandang ke Timur untuk menimba ilmu teknologi daripada negara Jepun telah tercapai. Malaysia mungkin tidak akan mengeluarkan kereta pertamanya pada tahun 1985 sekiranya tiada jalinan perkongsian ilmu teknologi daripada negara Jepun.
            2.2       Etika Kerja
Etika kerja yang sangat berdisiplin dikalangan pekerja-pekerja Jepun dan Korea menjadi salah satu matlamat dalam Dasar Pandang ke Timur. Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad sangat berminat dengan sikap warga Jepun dan Korea Selatan yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas mereka. Manakala dari segi pengurusan pula, mereka menggunakan beberapa kaedah untuk memantapkan sesebuah syarikat atau organisasi.
Pada masa ini, semua etika kerja yang baik ini telah diterapkan kedalam pengurusan syarikat dan agensi kerajaan di Malaysia. Sebagai contoh, amalan memakai tanda nama, anugerah pekerja cemerlang, perubahan sikap mengikut formula Bersih Cekap Amanah dan Kepimpinan Melalui Teladan yang menjadi moto kepada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Semua ini adalah hasil kerjasama yang telah dijalankan dalam Dasar Pandang ke Timur.
            2.3       Nilai Kerja Positif
Di Jepun dan Korea Selatan, mereka banyak menerapkan budaya kerja yang positif seperti saling hormat menghormati.  Majikan dan pekerja seolah-olah hamper tiada jurang. Amalan 5S juga adalah antara nilai kerja positif yang diterapkan di Jepun merangkumi aktiviti sisih, susun, sapu, seragam, sentiasa amal. 5 amalan ini telah jelas menggambarkan disiplin yang ada dalam diri setiap pekerja di Jepun. Ianya bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, selesa dan kemas. Hasilnya akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjimatkan kos dan memudahkan proses kerja. 
Ternyata amalan 5S yang diamalkan di Jepun telah menjadi ikutan di Malaysia. Sebagai contoh, semua agensi kerajaan telah diwajibkan untuk melaksanakan 5S. Pelaksanaan 5S di agensi-agensi kerajaan juga telah menjadi ukuran atau panduan kepada perlaksanaan sistem pengurusan kualiti MS ISO 9000.
            2.4       Majikan dan Pekerja Adalah Sama
Jurang antara majikan dan pekerja dilihat begitu ketara sebelum Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan. Majikan seolah-olah boleh mengarahkan apa sahaja dan pekerja perlu ikut semua arahan tanpa bantahan walaupun ianya tidak memberi impak yang positif kepada syarikat atau agensi. Akibatnya pekerja yang tidak bersetuju dengan arahan yang negatif  itu tidak boleh menyuarakan pendapat mereka lantas menimbulkan rasa tidak puas hati. Ini adalah perkara yang tidak baik dan sepatutnya tidak berlaku kerana kita ke arah menuju sebuah negara yang maju. Oleh itu, beberapa prinsip telah diterapkan supaya menjadi amalan dalam organisasi dalam mencapai suasana kerja yang harmoni. Diantara prinsip-prinsip tersebut adalah :
·      Memberi peluang kepada pekerja untuk meningkatkan mutu kerja mereka
·      Pekerja dan majikan seolah-olah sebagai sebuah keluarga
·      Majikan dan pekerja bekerja dalam satu kumpulan
·      Pekerja yang melaksanakn tugas dengan baik dianggap bijak dan boleh dijadikan pakar rujuk dikalangan mereka
Prinsip-prinsip diatas secara amnya memberi kesaksamaan dikalangan pekerja dan majikan seterusnya memberi kesan yang positif kepada organisasi.
                                                             
3.0       Pencapaian Dasar Pandang ke Timur
            3.1       Bidang Ekonomi
Inisiatif yang dimulakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ini adalah untuk mempelajari pengalaman kedua-dua negara ini bagi membangunkan ekonomi Malaysia supaya selari dengan negara-negara maju di dunia. Sebenarnya rahsia kejayaan Jepun dan Korea Selatan adalah didasarkan kepada etika kerja yang berdisiplin, pengurusan yang cekap dan moral yang tinggi. Ketiga-tiga faktor ini membawa kepada kejayaan ekonomi negara Jepun dan Korea Selatan.
Selari dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun 1971, Dasar Pandang ke Timur telah memberi manfaat dalam memastikan matlamat DEB dapat dicapai dengan jayanya. Sebagai contoh, ramai kalangan pelajar yang pulang daripada Jepun atau Korea Selatan telah mengambil langkah untuk bekerja sendiri dengan membuka syarikat atau perniagaan. Keadaan ini akan mengubah nasib sesebuah keluarga yang sebelumnya bergantung harap kepada subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Kebangkitan rakyat untuk tidak bergantung harap kepada subsidi kerajaan semata-mata secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi negara seterusnya menjadikan negara Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 seperti yang diteraskan dalam Wawasan 2020.
Selain itu, beberapa program penswastaan telah diperkenalkan semenjak Dasar Pandang ke Timur dilaksanakan. Diantaranya ialah penswastaan Telekom Malaysia Berhad dan Lembaga Letrik Negara. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kos dan beban kerajaan  dalam melaksanakan projek-projek pembangunan. Secara tidak langsung, ianya juga akan diuruskan secara lebih professional dan teratur untuk menghasilkan keuntungan yang maksimum. Kerajaan juga memperolehi cukai daripada agensi-agensi yang diswastakan.
            3.2       Bidang Teknologi
Dari segi teknologi, banyak kepakaran yang diperolehi oleh pelajar-pelajar dan kakitangan awam/swasta yang pergi mengikuti latihan disana telah dipraktikkan disini. Sebagai contoh, Malaysia berjaya menghasilkan motosikal sendiri berjenama tempatan iaitu Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas). Pada peringkat awal penghasilan, motosikal Modenas menggunakan enjin Kawasaki. Beberapa tahun kemudian, enjin tersebut yang datang daripada Jepun telah diubahsuai sepenuhnya. Hasilnya, pada hari ini Modenas telah menggunakan enjin sendiri yang dipasang pada sesetengah model  keluarannya. Ini menunjukkan kejayaan yang dicapai dalam bidang teknologi hasil daripada Dasar Pandang ke Timur.
 Contoh lain yang kita dapat lihat pada hari ini adalah pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang. Kita tidak lagi bergantung penuh kepada kepakaran daripada Korea Selatan. Sebagai contoh, kesemua getah penyerap gempa bumi yang dipasang adalah hasil daripada kejuruteraan anak tempatan. Walaupun ianya diperbuat di United Kingdom namum kepakaran menghasilkan getah-getah penyerap tersebut adalah bermula di sebuah makmal milik Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan direkabentuk di Pusat Penyelidikan Tun Razak (TARRC)di United Kingdom. Inilah antara pencapaian yang begitu membanggakan yang telah dicapai hasil Dasar Pandang ke Timur.
            3.3       Bidang Politik
Dengan adanya perkongsian bidang teknologi, kebudayaan dan pendidikan, secara tidak langsung Kerajaan dapat menguatkan hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara. Malah hubungan ini juga tidak dinafikan dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara ketiga-tiga negara yang terlibat. Hubungan politik yang baik sangat penting bagi membentuk hubungan jangka masa panjang. Sebagai contoh, isu kehilangan pesawat mh370 yang dialami oleh Malaysia. Pihak kerajaan lebih mudah untuk bekerjasama dengan kerajaan Korea Selatan dan Jepun apabila keadaan amat memerlukan.Tetapi keadaan mungkin berlaku sebaliknya jikalau tiada hubungan politik dengan kedua-dua negara tersebut.
            3.4       Bidang Pendidikan
Sekiranya dilihat dari segi pendidikan, Dasar Pandang ke Timur memberi kesan yang sangat baik kepada pembentukan silibus dan kaedah pengajaran serta pembelajaran dalam bidang pendidikan. Selepas Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan, banyak institusi-institusi pendidikan dan sekolah menengah yang menawarkan bidang kemahiran dan teknologi tinggi berbanding sebelumnya yang hanya menawarkan bidang sejarah dan sastera sahaja. Contoh yang paling jelas adalah pewujudan sekolah menengah vokasional dan teknik. Idea pewujudan sekolah menengah teknik dan vokasional adalah hasil lawatan guru-guru kita ke Jepun.
4.0       Kelemahan Dasar Pandang ke Timur
Seperti yang kita sedia maklum, Dasar Pandang ke Timur menampakkan banyak kelebihan kepada individu-individu yang pernah belajar atau bekerja disana. Namun begitu, tanpa kita sedari ianya mempunyai beberapa kelemahan yang sepatutnya kita sedari setelah 34 tahun (1982-2014) pelaksanaan dasar ini diperkenalkan. Antara kelemahan-kelemahan yang dapat dikesan adalah dari segi pemindahan teknologi yang tidak menyeluruh, kesan ekonomi, tiada pembangunan berdikari dan tiada program pengurusan ekosistem. Beberapa kelemahan yang ketara dibincangkan secara lanjut dalam perenggan berikutnya.
            4.1       Pemindahan Teknologi
Pemindahan teknologi yang diharapkan berlaku secara menyeluruh tidak berjaya dilaksanakan walaupun kepakaran telah dimiliki. Secara amnya, pelajar atau kakitangan yang pernah berada disana telah berjaya mencedok ilmu dan kepakaran daripada kedua-dua negara terbabit dengan jayanya. Namun begitu, ianya hanyalah teori semata-mata dan mereka tidak boleh mempraktikkannya apabila pulang. Ini kerana banyak syarikat dari Jepun dan Korea Selatan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka tidak memberi komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh bagi memindahkan teknologi yang mereka miliki kepada kita. Kalau adapun ianya masih dibawah kawalan mereka sendiri sepertimana semasa pembinaan Menara Dayabumi dan Jambatan Pulau Pinang dimana eksekutif, jurutera dan arkitek disandang oleh warga Jepun dan Korea sahaja dan bukannya warga tempatan.
            4.2       Kesan Ekonomi
Dewasa ini, kita seolah-olah telah diikat oleh penggunaan barangan-barangan harian yang berasal dari Jepun dan Korea. Lihatlah daripada awal tahun 90an, jenama-jenama keluaran daripada Jepun dan Koea Selatan seperti  Toyota, Honda, Panasonic, National dan Samsung telah memonopoli pengeluaran dan jualan di negara kita. Ini adalah perkembangan yang tidak sihat untuk pertumbuhan ekonomi kerana ianya tidak bersaing dengan barangan-barangan keluaran daripada negara Barat.
Minda tentang barangan Jepun dan Korea adalah lebih baik daripada barangan keluaran Barat menular sehingga ke hari ini menyebabkan syarikat dari negara Barat tidak berminat untuk melabur kerana ditakuti kurang mendapat sambutan. Contoh paling jelas ialah dalam industri pemotoran. Kita boleh lihat sambutan yang diberikan terhadap kereta-kereta Barat seperti Ford dan Mazda jika dibandingkan dengan sambutan terhadap jenama Toyota dan Honda. Ini akan menyebabkan Toyota dan Honda merasa selesa kerana kurang persaingan. Secara asasnya, ekonomi akan lambat berkembang sekiranya kurang persaingan dalam sesebuah pasaran. Secara tidak langsung ekonomi kita akan lambat berkembang. Inilah kesan negatif Dasar Pandang ke Timur  yang  telah kita terima pada hari ini dan perlu diperbaiki.


            4.3       Tiada Pembangunan Berdikari
Akibat kebergantungan teknologi terhadap kedua-dua negara Timur ini, Malaysia secara tidak sedar telah bergantung harap kepada mereka sepenuhnya. Lihatlah contoh pembangunan Menara Dayabumi dan Jambatan Pulau Pinang. Pembinaan Menara Dayabumi diberikan kepada kontrak daripada Jepun yang menawarkan nilai jauh lebih tinggi ($313 juta) berbanding kontraktor tempatan yang mampu melakukannya dengan belanja yang lebih murah($242 juta). Akibatnya, anak-anak tempatan disisihkan daripada menyertai golongan pakar dan professional semasa proses pembinaan Dayabumi. Hampir kesemua jurutera dan arkitek adalah daripada negara Jepun manakala pekerja tempatan hanya diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas-tugas buruh sahaja. Ini amat merugikan kita kerana tenaga pakar tempatan tidak boleh mempraktikkan apa yang mereka pelajari dan menimba ilmu dan pengalaman semasa proses pembinaan bangunan Dayabumi.
Begitu juga semasa pembinaan jambatan Pulau Pinang, syarikat-syarikat tempatan yang dikehendaki bekerjasama dengan syarikat dari Korea Selatan enggan berbuat demikian kerana tidak mahu terikat dengan syaray-syarat yang amat ketat dan tidak menguntungkan. Dengan kata lain, syarikat tempatan telah dianaktirikan dan tidak diberi peluang untuk mengetuai sesebuah pembangunan mega pada waktu itu.
            4.4       Tiada Pengurusan Ekosistem
Sesuatu yang amat merugikan dalam Dasar Pandang ke Timur adalah tidak memasukkan program pengurusan ekosistem. Malaysia mengalami krisis bekalan air yang serius meskipun negara mempunyai sumber air yang mencukupi. Selain itu, pengurusan sisa pepejal juga tidak diurus dengan cekap. Ini kerana kita tidak pernah belajar daripada negara Jepun tentang bagaimana mereka menguruskan sisa pepejal dan guna semula air dengan amat baik sekali. Program sedemikian tidak diterapkan dalam Dasar Pandang ke Timur. Ini amat merugikan kerana kita memiliki sumber air yang banyak tetapi tetap mengalami krisis air. Alangkah baiknya jikalau Malaysia dapat berkongsi selok belok pengurusan air daripada Jepun sejak dari dahulu lagi. Oleh itu masalah air dan pengurusan sisa pepejal perlulah diberi perhatian dalam gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur.
5.0       Analisis Gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur
Gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur telah dipersetujui pada 25 Julai 2013 antara Malaysia dan Jepun. Dalam gelombang kedua ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggariskan beberapa bidang utama meliputi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), aliran penyelidikan dan inovasi, nanoteknologi, biologi, teknologi hijau, teknologi tinggi  dan pembangunan perkhidmatan mewah. "Gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur adalah mengenai industri masa depan:berteknologi tinggi dan rendah karbon"(D.S. Najib, 2013). Gelombang kedua menyaksikan perkongsian bukan sekadar bidang pendidikan dan latihan sahaja. Malah diperluaskan kepada bidang ekonomi sejajar dengan misi Malaysia ingin menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
            5.1       Bidang Penyelidikan dan Inovasi
Dewasa ini, bidang penyelidikan dan inovasi adalah merupakan aset penting kepada sesebuah negara. Sesebuah syarikat atau perniagaan akan menanggung kerugian sekiranya bergantung penuh kepada bahan mentah semata-mata. Mereka perlu membuat penyelidikan dan kajian serta inovasi bagi menggantikan bahan mentah tersebut kerana ada ketikanya bahan mentah akan menjadi terlalu mahal ataupun habis.
Apa yang berlaku terhadap kilang biodiesel di Malaysia yang telah ditutup menjadi pengajaran besar kepada betapa pentingnya penyelidikan dan inovasi.  Kenaikan mendadak harga sawit mentah dipasaran memaksa kilang biodiesel ditutup. Keadaan ini amat merugikan negara setelah banyak wang dilaburkan untuk membuka kilang tersebut. Jika diteliti semula, punca ianya ditutup adalah kerana sumber utama iaitu sawit mentah mengalami peningkatan harga mendadak dan syarikat tidak mampu untuk menampung kos bahan mentah. Pada masa yang sama tiada penyelidikan dan inovasi dilakukan bagi menggantikan bahan mentah sawit yang mahal. Oleh itu, inisiatif untuk mengkaji bahan mentah biodiesel yang lebih murah, termasuk sisa perbandaran dan sisa biomas minyak sawit perlu di  percepatkan bagi menggantikan bahan mentah sawit yang digunakan pada masa sekarang.
            5.2       Teknologi Tinggi
Selari dengan Program Transformasi Ekonomi(ETP) yang mensasarkan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil peluang dalam pelancaran gelombang kedua ini dengan menerapkan perkongsian teknologi tinggi daripada Jepun dan Korea Selatan. Seperti yang kita tahu, banyak perancangan melibatkan teknologi tinggi seperti pembinaan landasan keretapi laju antara Malaysia dan Singapura yang sedang dirancang. Oleh itu, Jepun adalah pilihan yang tepat sebagai rakan kongsi untuk projek landasan keretapi laju ini apabila ianya dilaksanakan kelak. Walaubagaimanapun, kerajaan harus memastikan semua projek ini melalui bidaan yang telus dan perkara seperti yang berlaku dalam pembinaan Menara Dayabumi tidak berulang.
            5.3       Teknologi Hijau
Konsep Teknologi hijau adalah meminimumkan bekalan tenaga yang digunakan dan mengurangkan lepasan gas karrbon dioksida. Seiring dengan kepesatan pembangunan di zon Iskandar Malaysia, pihak syarikat dari Jepun telah berminat untuk menjadikan Bandar Iskandar ini sebagai bandar komuniti pintar yang berasaskan teknologi hijau seperti yang mereka lakukan di negara mereka. Syarikat-syarikat ini akan mencipta inovasi baru dan mesin baharu bagi penggunaan tenaga baharu. Tidak dapat dinafikan lagi, Malaysia telah berjaya membina bandar-bandar yang cantik seperti Putrajaya dan Cyberjaya. Namun begitu, konsep teknologi hijau tidak banyak ditekankan dalam pembinaannya. Oleh itu, permulaan konsep teknologi hijau akan dimulakan di zon Iskandar Malaysia.
            5.4       Pengurusan Ekosistem
Dari segi pengurusan Ekosistem, ia menekankan kepada kebergantungan tenaga bahan api fosil dan kecekapan pengurusan bekalan air. Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia sentiasa mengalami krisis air yang serius hampir setiap tahun. Apabila tiba musim kemarau, penduduk terutamanya di bandar-bandar besar akan mengalami krisis air yang serius sehingga memaksa kerajaan melaksanakan catuan bekalan air. Sumber air dari empangan akan surut sehingga ke tahap kritikal mengakibatkan catuan air terpaksa dilakukan. Oleh itu, Malaysia perlu mengorak langkah untuk  membuat penyelidikan dan mempraktikkan apa yang dilakukan di Jepun  iaitu meningkatkan sistem air dirawat dan sistem rawatan kumbahan supaya boleh menggunakan semula sumber air terpakai. Selain itu, tenaga bahan api fosil yang akan habis juga perlu digantikan dengan tenaga bahan api yang lain seperti elektrik dan solar.

6.0       Rumusan
Bermula dari awal perlaksanaan Dasar Pandang ke Timur pada awal tahun 1982 sehingga kepada gelombang kedua dasar tersebut pada 2013 telah memberi banyak impak kepada pembangunan negara. Biarpun terdapat impak negatif yang diterima sepanjang 30 tahun fasa pertama, negara diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengorak langkah untuk memperkenalkan fasa kedua yang lebih komprehensif dan meluas. Ini tidak bermakna fasa pertama yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak memberi impak yang positif. Banyak kemewahan yang kita miliki hari ini adalah hasil daripada Dasar Pandang ke Timur pada fasa pertama. Lihatlah Jambatan Pulau Pinang dan Menara Dayabumi yang pada suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan negara. Semua itu adalah usaha dan komitmen yang terhasil daripada dasar Pandang ke Timur yang telah diperkenalkan. Diharap semua kelemahan yang wujud dijadikan iktibar dan dapat diperbaiki dalam gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur. Semoga kita berjaya dalam menuju kea rah menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
           
Rujukan
Suhaila Fauzi(2013). Dasar ekonomi dr Mahathir. Diambil daripada http://www.slideshare.net/suhailahfauzi7/dasar-ekonomi-dr-mahathir
Neosangsapurba(2011). DASAR PANDANG KE TIMUR: SATU PREVIEU. Diambil daripada http://geopolitikus.blogspot.com/2011/02/dasar-pandang-ke-timur-satu-previeu.html
Lina Razali(2009). MASYARAKAT JEPUN. Diambil daripada http://www.scribd.com/doc/22416177/Dasar-Pandang-Ke-Timur
NATRA NADEA(2010). Dasar Pandang ke Timur. Diambil daripada http://natranadea.blogspot.com/2010/08/dasar-pandang-ke-timur.html
http://www.jpa.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1437:dasar-pandang-ke-timur&lang=ms
http://www.bharian.com.my/articles/DanaRM318jutabangunteknologihijaudilancar/Article/
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm
http://m.utusan.com.my/Dalam_Negeri/20131214/dn_01/Enam-sektor-tumpuan-DPT20
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dasar-pandang-ke-timur-perlu-disambung-dan-dibangunkan-kata-pm
 

No comments:

Post a Comment

Table Grade